Wednesday, December 29, 2010

Musuh Superhero Islam

Salah satu ciri sastera genre superhero adalah di mana ciri utamanya adalah wujudnya konflik antara kuasa baik dan kuasa jahat.

Dengan mengambil kisah Nabi Musa sebagai model cerita superhero Islam, musuh superhero Islam adalah manusia yang mengaku dirinya sebagai tuhan.

Dalam kisah Nabi Musa, musuh beliau adalah firaun Mesir yang mengaku dirinya Tuhan dan memaksa hamba rakyat supaya menyembah dirinya. Sesiapa yang tidak mahu menyembahnya dihukum mati dengan cara yang sangat kejam iaitu dengan menyalib mereka di hadapan orang ramai.

Itulah yang dilakukan oleh firaun Mesir kepada ahli-ahli sihir yang telah beriman kepada Allah selepas mereka melihat bagaimana tongkat Nabi Musa telah bertukar rupa menjadi ular besar yang kemudian telah menelan ular-ular yang dihasilkan secara tipu daya ahli-ahli sihir itu.

Jadi, pertentangan antara superhero Islam dengan musuhnya adalah pertentangan kepercayaan tentang Tuhan. Ini sangat berbeza dengan cerita-cerita superhero konvensional di mana konfliknya adalah antara kuasa baik dan kuasa jahat yang tiada mempunyai kaitan dengan Tuhan.



Tuesday, December 28, 2010

Superhero Islam Menentang Manusia Biasa

Dengan mengambil kisah Nabi Musa sebagai model superhero Islam, beliau sesuai dijadikan model superhero kerana beliau menentang dan melawan kuasa besar.

Kuasa besar yang ditentang oleh Nabi Musa adalah seorang raja yang sangat zalim ke atas hamba rakyatnya, iaitu firaun negeri Mesir.

Walaupun dia seorang firaun, namun dia tetap seorang manusia biasa-biasa dalam erti kata dia tidak memiliki kuasa luar biasa. Dia juga tidak mempunyai senjata yang berkuasa luar biasa. Dia terpaksa meminta bantuan ahli-ahli sihir bagi melawan kuasa luar biasa Nabi Musa.

Jadi, superhero Islam tidak berlawan dengan makhluk-makhluk luar biasa seperti naga, robot ataupun hantu-hantu.


Monday, December 27, 2010

Superhero Islam adalah Penolong kepada Perempuan


Dengan mengambil Nabi Musa sebagai model superhero Islam, maka salah satu peranan superhero Islam adalah sebagai penolong dan pembela kepada kaum perempuan, bukan sebaliknya.

Dalam suatu peristiwa, Nabi Musa yang sedang dalam kembara, telah terjumpa dengan dua orang gadis adik beradik yang dalam kesusahan, lalu beliau menolong mereka.

Peristiwa itu berlaku di tengah padang pasir di tepi sebuah telaga air. Ada sekumpulan penggembala kambing sedang memberi kambing-kambing mereka minum. Selepas selesai, mereka meletakkan semula batu besar yang dijadikan penutup telaga itu supaya airnya tidak kering oleh panasnya matahari. Padahal, mereka nampak ada dua orang perempuan sedang menunggu giliran mahu memberi minum kambing-kambing mereka. Batu itu pula terlalu berat bagi kudrat perempuan mengangkatnya.

Pada waktu itulah Nabi Musa sampai ke tempat itu lalu beliau mengangkatkan batu tersebut supaya 2 orang gadis itu dapat memberi minum kambing-kambing mereka.

NOTA: Bandingkan sifat superhero Islam dengan superhero Melayu yang bernama Hang Tuah. Hang Tuah telah menipu Tun Tijah demi menyukakan hati sultan Melaka. Hang Jebat pula telah menzalimi gundik-gundik sultan Melaka dengan memperkosa mereka lalu membunuh mereka atas nama membalas dendam kezaliman sultan itu.



Sunday, December 26, 2010

Superhero Islam Mempunyai Keluarga

Dengan menggunakan model kisah Nabi Musa sebagai model cerita superhero Islam, maka watak superhero Islam adalah seorang yang mempunyai keluarga.

Ini berbeza dengan sesetengah superhero ciptaan Barat di mana superheronya tidak mempunyai keluarga.

Dalam kisah Nabi Musa, diceritakan bahawa beliau mempunyai ibu, kakak, dan adik lelaki. Beliau juga berkahwin dan mempunyai isteri serta ipar perempuan dan ayah mertua. Beliau juga mempunyai ibu bapa angkat.



Saturday, December 25, 2010

Superhero Islam Berkahwin

Dengan mengambil Nabi Musa sebagai model superhero Islam, salah satu perbezaan antara superhero Islam dan superhero bukan Islam sebagaimana yang banyak dilahirkan oleh Hollywood, adalah pada taraf perkahwinan.

Dalam pengembaraannya, Nabi Musa berjumpa dengan 2 orang gadis adik beradik di tengah-tengah padang pasir, lalu beliau kemudiannya berkahwin dengan salah seorang gadis itu.

Dalam cerita-cerita superhero Hollywood, superheronya mempunyai kekasih dan mereka terus kekal sebagai pasangan kekasih sepanjang cerita, suatu tingkah laku yang tidak diizinkan dalam Islam.

Status superhero Islam yang berkahwin adalah selaras dengan nilai-nilai
kekeluargaan dan kekerabatan Islam.


Thursday, December 16, 2010

Pembantu Superhero Islam adalah Sama Jenis

Sebagai model superhero Islam, Nabi Musa mempunyai seorang pembantu iaitu Nabi Harun. Beberapa ciri Nabi Harun sebagai pembantu superhero adalah:

1. Nabi Musa superhero lelaki, pembantunya juga lelaki. Dalam sesetengah kisah superhero bukan Islam, pembantu superhero mungkin berlainan jenis.

2. Pembantu Nabi Musa adalah seorang yang akhlaknya amat mulia.

3. Superhero Islam tidak menyuruh pembantunya menjalankan kerja-kerja yang tidak baik, umpamanya membantu superhero melarikan puteri raja.

Tugas-tugas Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa adalah adalah:

(a) Menjaga pengikut Nabi Musa semasa superhero itu tiada kerana menjalankan tugas di tempat lain. Ini berlaku semasa Nabi Musa naik ke Gunung Sinai.

(b) Mengambil alih tugas yang superhero tidak dapat menjalankannya dengan cemerlang. Ini berlaku apabila Nabi Musa pergi berjumpa Firaun. Beliau seorang yang kurang fasih bercakap. Beliau membawa Nabi Harun yang lebih fasih bagi membantunya.


Tuesday, December 14, 2010

Pembantu Superhero Islam Tidak Memiliki Kuasa-Kuasa Ajaib

Dalam model kisah superhero Islami yang berdasarkan kisah Nabi Musa, Nabi Harun sebagai pembantunya, adalah seorang manusia biasa yang tidak mempunyai sebarang kuasa luar biasa.

Sebagai contoh, Nabi Harun bukan manusia luar biasa yang mempunyai kuasa luar biasa yang dapat menyelamatkan superhero apabila dia berada dalam bahaya, ataupun macam kuasa jin lampu ajaib dalam kisah Aladin.

Walaupun Nabi Harun mempunyai SATU kelebihan daripada superhero, yakni beliau lebih fasih bercakap, namun ciri fasih itu bukan ciri kuasa luar biasa.

Tugas-tugas yang dijalankan oleh pembantu superhero Islam adalah tugas-tugas biasa, bukan tugas di luar keupayaan manusia biasa melakukannya. Semasa Nabi Musa naik ke gunung Sinai, beliau mengarahkan pembantunya, Nabi Harun, supaya menjaga pengikut-pengikutnya.


Kelebihan Pembantu Superhero Islam

Dengan menggunakan cerita Nabi Musa sebagai model kisah superhero Islam yang ideal, pembantu atau timbalan superhero Islam mempunyai SATU sifat di mana dia lebih bagus daripada superhero.

Dalam kisah Nabi Musa, beliau seorang yang tidak amat fasih apabila bercakap, manakala Nabi Harun lebih fasih.

Apabila Tuhan mengarahkan Nabi Musa supaya pergi kepada Firaun dan menyampaikan ancaman Tuhan disebabkan kezalimannya yang melampau-lampau, Nabi Musa tidak yakin terhadap keupayaannya melaksanakan tugas itu, lalu beliau meminta izin supaya beliau membawa Nabi Harun sebagai pembantunya.


Sunday, December 12, 2010

Superhero Islam Mempunyai Pembantu Khas dari Kalangan Manusia Biasa yang Mulia

Menggunakan kisah Nabi Musa sebagai model novel superhero yang baik, maka superhero Islam mempunyai timbalan atau pembantu khas.

Pembantu khas Nabi Musa adalah adiknya sendiri, yang juga seorang nabi, iaitu Nabi Harun.

Berdasarkan model Nabi Musa, bagi superhero lelaki, pembantunya adalah lelaki juga.

Jadi, pembantu superhero Islam adalah manusia biasa yang mempunyai sifat-sifat mulia, bukan jin, pari-pari, hantu ataupun haiwan yang mempunyai sifat-sifat luar biasa.


Thursday, December 9, 2010

Senjata Sakti Superhero Islam adalah Lambang Kuasa Ilmu dan Takwa

Dengan mengambil kisah Nabi Musa sebagai cerita ideal sebuah kisah seorang superhero Islam, unsur senjata sakti superhero adalah salah satu ciri yang membezakan antara konsep superhero dalam Islam dan superhero bukan-Islam.

Dalam genre superhero konvensional, antara ciri yang membezakan seorang superhero daripada manusia biasa adalah unsur senjata sakti. Semua superhero mempunyai senjata.

Yang membezakan senjata superhero konvensional dan superhero Islam adalah jenis dan fungsi-fungsi senjata sakti mereka.

Senjata sakti Nabi Musa adalah tongkatnya. Tongkat Nabi Musa tidak pernah digunakan bagi tujuan mencederakan ataupun membunuh musuh-musuhnya. Namun, dengan menggunakan senjata saktinya Nabi Musa tetap telah mengalahkan musuh-musuhnya itu.

Berdasarkan kisah Nabi Musa, senjata sakti seorang superhero Islam bukan berfungsi sebagai lambang kekuatan kuasa fizikalnya, sebaliknya ia adalah lambang kuasa ilmu dan takwa yang ada pada diri superhero itu.


Senjata Sakti Superhero Islam Tidak Membunuh

Dengan mengambil Nabi Musa sebagai model ideal seorang superhero Islam, maka kita juga mengambil senjata sakti Nabi Musa sebagai senjata ideal untuk seorang superhero Islam.

Seorang superhero mempunyai senjata saktinya. Senjata sakti Nabi Musa adalah sebatang tongkatnya yang sentiasa ada bersamanya.

Tongkat sakti Nabi Musa tidak pernah digunakan bagi membunuh manusia. Padahal, beliau beberapa kali cuba dibunuh oleh firaun Mesir. Pertama kali selepas kejadian di mana Nabi Musa dengan tidak sengaja menyebabkan kematian seorang lelaki Qibti. Kali kedua selepas beliau berjaya mengalahkan ilmu para ahli sihir diraja firaun Mesir.

Konsep superhero Islam adalah seorang yang tidak membunuh.


Senjata Sakti Superhero Islam Tidak Diwarisi ataupun Diwariskan

Senjata sakti superhero Islam tidak diperoleh dari manusia lain.

Jadi, tongkat sakti Nabi Musa bukan diwarisi daripada ayahnya, ataupun dihadiahkan kepadanya oleh mahagurunya, ataupun diberikan kepadanya oleh makhluk bukan-manusia, ataupun yang dijumpainya di lokasi yang penuh misteri, ataupun yang dirampas daripada musuhnya.

Nabi Musa juga tidak mewariskan tongkat saktinya kepada sesiapa.

Tongkat sakti superhero Islam juga tidak menjadi rebutan antara pemiliknya dengan musuh-musuhnya.

Disebabkan senjata sakti superhero Islam bukan senjata
lethal, maka superhero Islam bukan seorang pahlawan.


Sumber Kesaktian Senjata Superhero Islam

Dalam mengambil Nabi Musa sebagai model superhero Islam, kuasa sakti yang ada pada senjatanya, yakni tongkatnya, bukan diberikan oleh Nabi Musa.

Dalam lain perkataan, bukan diri Nabi Musa yang menjadi sumber kesaktian senjatanya. Jadi, beliau tidak meniupkan kuasa sakti kepada tongkatnya dengan membacakan jampi mentera, ataupun mengasapkannya, ataupun melangirkan tongkatnya.

Sumber kuasa sakti yang ada pada tongkat Nabi Musa itu adalah Tuhan. Tuhanlah yang memberikan kuasa sakti kepada senjata superhero Islam.


Ciri Senjata Sakti Superhero Islam

Dengan mengambil Nabi Musa sebagai model superhero Islam, walaupun superhero Islam mempunyai senjata sakti, tetapi senjata itu bukan senjata yang mencederakan ataupun membunuh.

Senjata Nabi Musa adalah sebatang tongkat sakti, bukan senapang, bukan pedang besi, bukan pedang laser ataupun lain-lain senjata
lethal.

Tongkat sakti Nabi Musa berfungsi sebagai kekuatan kuasa ilmu yang ada pada beliau. Dengan menggunakan kuasa ilmu yang ada pada dirinya itulah superhero Islam mengalahkan musuh-musuhnya.

Pada suatu peristiwa, Nabi Musa menggunakan tongkat sakti beliau bagi mengalahkan ilmu ahli-ahli sihir diraja Firaun Mesir.

Pada peristiwa yang lain, Nabi Musa menggunakan kuasa tongkatnya bagi membelah laut, dengan demikian dia berjaya menyelamatkan dirinya dan pengikut-pengikutnya daripada mati dibunuh oleh musuhnya iaitu firaun Mesir dan tenteranya.


Superhero Islami adalah Manusia Biasa

Dalam menjadikan Nabi Musa sebagai model superhero yang Islamik dan ideal, superhero Islami adalah seorang manusia biasa, bukan seorang dewa, ataupun robot, ataupun manusia jadi-jadian. Hanya sahaja dia mempunyai tiga ciri keluarbiasaan yang menjadikan dia "super":

1. Dia manusia biasa yang mempunyai kuasa sakti.

2. Dia mempunyai senjata sakti.

3. Dia mempunyai kedudukan istimewa yang tidak dimiliki oleh manusia biasa.


Apa Perlunya Kita Mempunyai Model Superhero Islami

Dalam dunia hari ini, genre superhero amat popular, baik dalam cerita buku komik, animasi kartun, filem dan game komputer.

Agen yang paling besar pengaruhnya mencipta minat terhadap genre superhero di kalangan kanak-kanak adalah televisyen.

Superhero yang paling diminati adalah superhero ciptaan Amerika, Hong Kong, Jepun dan Korea. Superhero yang diimport dari luar tidak semestinya 100% sesuai dengan budaya kita.

Kita memerlukan model superhero kita sendiri kerana kita mempunyai worldview dan nilai-nilai kita sendiri, yang perlu kita tanamkan kepada kanak-kanak.


Nabi Musa sebagai Model Superhero Islami

Nabi Musa dapat dijadikan model superhero Islami kerana beberapa faktor yang hanya ada pada beliau, yakni tidak ada pada nabi-nabi lain. Faktor-faktor itu adalah:

1. Beliau mempunyai kekuatan fizikal luar biasa.

Nabi Musa tidak menyedari beliau mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa. Pada suatu masa beliau menumbuk seorang lelaki Qibti, tiba-tiba lelaki itu mati akibat satu kali tumbukannya itu.

Pada suatu hari yang lain Nabi Musa dapat mengangkat batu besar yang biasanya hanya dapat diangkat oleh 10 orang lelaki.

2. Beliau mempunyai kuasa sakti.

Dalam peristiwa lain, beliau dapat mengeluarkan lengannya dari dalam bajunya, dan lengannya bercahaya-cahaya.

3. Beliau mempunyai senjata sakti.

Senjata sakti Nabi Musa adalah tongkatnya

Pada suatu masa beliau dapat menukar tongkatnya menjadi ular yang besar, yang menelan ular-ular para pawang diraja Firaun Mesir.

Pada masa yang lain, dengan menggunakan tongkat saktinya, beliau membelah lautan.

4. Beliau mempunyai kedudukan yang mengatasi status manusia biasa.

Pada suatu peristiwa, Nabi Musa dapat bercakap secara langsung dengan Tuhan, suatu perkara yang tidak ada manusia lain pernah mengalaminya, meskipun nabi-nabi lain.


Tuesday, December 7, 2010

Novel Travelog Islami

Sebagai sebuah penerbit yang hanya menerbitkan buku-buku syariah-compliant, PTS perlu mempunyai model-model genre kreatif kita sendiri kerana faktor-faktor berikut:

1. Bagi memastikan PTS tidak menyebarkan unsur-unsur yang tidak selaras dengan Islam yang mungkin terdapat di dalam buku-buku yang diterbitkannya.

2. PTS perlu mempunyai (a) dasar editorial dan (b) manual menapis manuskrip yang diterima dari penulis-penulis.

3. PTS perlu mempunyai manual editing yang menyenaraikan secara teknikal unsur-unsur yang perlukan pembetulan sebelum sesuatu manuskrip itu layak diterbitkan.

4. Penulis-penulis PTS perlu mengetahui secara teknikal unsur-unsur yang boleh menyebabkan manuskrip mereka ditolak oleh PTS.

5. Dengan mempunyai model-modelnya sendiri, PTS dapat menerbitkan karya-karya kreatif yang mempunyai USPnya (
unique selling point) sendiri, yang membezakan buku-buku PTS daripada buku-buku lain dalam pasaran.

USP adalah faktor paling penting bagi mencipta apa yang disebut 'posisi-produk' (
product-positioning).

Novel travelog atau novel kembara yang Islamik haruslah berdasarkan model kisah kembara yang ada dalam Quran.

Saya bersama Tn. Firdaus Arif telah mengkaji kemungkinan memilih kisah travelog daripada kalangan nabi-nabi yang terdapat dalam Quran bagi dijadikan asas teori dan teknik penulisan novel travelog.

Antara nabi-nabi itu, kisah travelog Nabi Musa adalah yang paling panjang tempohnya, paling luas wilayahnya, dan paling lengkap ceritanya, paling banyak wataknya, dan paling kompleks plotnya.

Atas faktor-faktor itulah kami mengemukakan model travelog Nabi Musa sebagai model ideal bagi penulisan novel travelog Islami.