Saturday, January 15, 2011

Superhero Islam Tidak Mengalahkan Musuhnya


Konsep superhero Islam sangat berbeza daripada konsep superhero konvensional seperti Superman dan Tarzan.

Dalam cerita
superhero konvensional, superheronya mempunyai banyak musuh, dan dia sentiasa dapat mengalahkan musuhnya dengan menggunakan kekuatan yang ada pada dirinya ataupun dengan menggunakan senjata saktinya.

Dalam cerita Nabi Musa sebagai model
superhero Islam, meskipun beliau mempunyai tenaga fizikal yang mengatasi tenaga fizikal manusia biasa, namun beliau tidak mengalahkan musuh-musuhnya secara fizikal.

Nabi Musa tidak berani menentang kekuatan Firaun. Malah beliau melarikan diri dari dari Firaun sebanyak dua kali. Pertama kali semasa beliau secara tidak sengaja terbunuh seorang lelaki berbangsa Qibti, iaitu bangsa Firaun. Kali kedua selepas beliau berjaya mengalahkan ahli-ahli sihir Firaun dengan menggunakan kuasa tongkat saktinya.

Kuasa yang mengalahkan dan membunuh Firaun serta bala tenteranya, yakni apabila mereka tenggelam dalam lautan, adalah Allah yang maha perkasa.

Jadi, dalam cerita
superhero Islam, musuh superhero adalah sebenarnya seseorang yang memusuhi Allah, maka Allah jua yang mengalahkan musuhnya.



Superhero Islam adalah Pemimpin Bangsanya


Sebagai model
superhero Islam, Nabi Musa adalah seorang pemimpin kepada bangsanya, iaitu bangsa Israel. Nama 'Israel' adalah nama lain kepada nama Nabi Yaakub yang mempunyai dua nama. Jadi, Nabi Musa dan Bani Isreal adalah keturunan Nabi Yaakub.

Ini berbeza dengan
model superhero konvensional yang popular seperti Superman dan Tarzan di mana mereka bukan pemimpin.

Nabi Musa adalah
superhero kerana beliau menentang Firaun yang sangat berkuasa. Beliau berjuang menentang Firaun atas dua tujuan:

(a) Bagi membebaskan kaumnya yang ditindas oleh Firaun disebabkan mereka tinggal di bumi Mesir yang bukan negara asal bangsa Israel.

(b) Bagi menyampaikan agama Allah kepada Firaun yang mendakwa dirinya adalah tuhan.


Thursday, January 13, 2011

Superhero Islam Bukan Pahlawan Perang

Dengan mengambil Nabi Musa sebagai model superhero Islam, banyak perbezaan antara superhero Islam dan superhero konvensional.

Nabi Musa bukan seorang pahlawan. Beliau tidak mempunyai bala tentera. Beliau tidak pernah berperang.

Beliau diperangi oleh Firaun, tetapi Nabi Musa tidak pernah berdepan dan bertempur dengan tentera Firaun. Nabi Musa diburu oleh tentera Firaun dan beliau melarikan diri.

Justeru,
superhero Islam bukan pahlawan perang dan, meskipun beliau diperangi, beliau tidak pernah berperang.


Saturday, January 1, 2011

Superhero Islam Percaya kepada Tuhan

Dalam teori sastera genre superhero Islam yang mengambil kisah Nabi Musa sebagai model, maka superhero Islam mempunyai agama.

Ini berbeza dengan genre superhero konvensional ciptaan Amerika, Jepun dan Hong Kong, di mana sang superheronya tiada mempunyai agama.

Sebagai contoh, Tarzan dan Superman tidak digambarkan sebagai manusia yang mempunyai Tuhan. Apabila Tarzan dalam kesusahan, dia meminta bantuan binatang-binatang di dalam rimba bagi menolong dirinya, bukan meminta bantuan Tuhan. Superman pula tidak pernah memerlukan bantuan sesiapa.

Konsep
superhero konvensional yang tidak bertuhan banyak mempengaruhi pemikiran pencipta superhero Melayu di mana dalam cerita-cerita superhero yang mereka cipta itu watak superheronya tidak mempunyai Tuhan.

Disebabkan
superhero Islam mempunyai Tuhan, apabila superhero Islam dalam keadaan lemah, dia meminta bantuan dari Tuhannya, bukan meminta bantuan daripada jin dalam botol, batu delima ajaib, dewa-dewa, haiwan, ataupun makhluk-makhluk asing.